Pages

Thursday 29 November 2012

Hidayah

بسم الله الرحمن الرحيم

ليس عليك هدىهم ولكن الله يهدى من يشاء
"kamu tidak mampu memberikan hidayah kepada mereka, tetapi Allah memberikan hidayah kepada mereka yang Dia kehendaki" 

 Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga  dan sahabat-sahabat baginda serta seluruh pengikut baginda hingga ke hari akhirat kelak. Setelah sekian lama menyepi dari dunia blog atas beberapa kesempitan waktu yang tidak dapat dielakkan, alhamdulillah kali ini Allah izinkan untuk saya men'tajdid' balik blog ini sebagai salah satu medium menyambung risalah Rasulullah SAW dan diberi kesempatan oleh Allah untuk diri ini membuktikan kehambaan padaNya, dan sesungguhnya ini merupakan nikmat Allah SWT yang amat bernilai. Semoga post kali ini juga dapat dijadikan ilmu serta 'pemberat' bagi timbangan pahala kita di akhirat kelak.

 Kita manusia dijadikan Allah SWT supaya sentiasa fikir dan zikir, tentang apa yang telah dijadikan olehNya melalui panca indera yang telah diberikan. Tiada manusia yang dapat mengenal manusia dengan baik, hanya Pencipta manusia yang mengenali siapa manusia yang sebenar, sebagaimana sebiji kuih yang lazat, tiada siapa yang tahu apa ramuan di dalamnya kecuali pembuatnya. Allah sebagai Pencipta manusia dan seluruh alam yang paling mengenali manusia, malah Dia menyediakan segala keperluan yang lengkap bagi manusia supaya mereka dapat hidup dengan sempurna di atas muka bumi ini. Allah SWT menciptakan haiwan dan tumbuhan yang berguna kepada manusia sebagai sumber makanan, pengangkutan, tempat tinggal, bumi untuk manusia berpijak, udara untuk manusia menghirupnya dan ilmu serta kemahiran untuk menjadikan kehidupan manusia lebih sempurna.

Maha Hebatnya Allah menciptakan alam dengan penuh keunikan serta sempurna di pandangan manusia. Tetapi malangnya ramai manusia yang tidak berjaya mengenal Allah melalui kehebatanNya itu..fikir-fikirkan
Ternyata manusia begitu memerlukan Allah dalam segenap ruang hidupnya. Keperluan manusia tidak hanya terbatas kepada keperluan fizikal malah juga merangkumi keperluan rohani. Antara keperluan rohani bagi manusia yang sangat penting ialah hidayah. Hidayah bermaksud petunjuk ataupun panduan. Ia sangatlah penting kepada manusia kerana ia merupakan petunjuk jalan bagi memastikan perjalanan hidup manusia berada di atas landasan yang betul. Orang Islam sentiasa bermohon pada Allah supaya diberikan hidayah, bahkan kita diwajibkan oleh Allah supaya memohon hidayah dariNya dengan kewajipan membaca surah Al-Fatihah dalam setiap solat 5 waktu sehari semalam. Di antara kandungan surah Al-Fatihah ada disebut :

اهدنا الصراط المستقيم
" tunjukkanlah kami jalan yang lurus "(al-fatihah:6)

Sesungguhnya pengetahuan kita sangat terbatas. Tidak seperti Pencipta yang Maha Mengetahui di mana Dia mengetahui segala yang nyata dan yang tersembunyi. Kita juga tidak dapat mengetahui dengan jelas sesuatu perkara dalam kehidupan kita, samada ketika kita masih hidup ataupun pada masa akan datang. Maka terbukti bahawa kita manusia amatlah terbatas pengetahuan kerana kita tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib kecuali semua itu diceritakan oleh Allah sendiri ataupun melalui Rasul utusanNya. Justeru itu kita perlukan hidayah, dengan hidayah Allah itulah kita dapat membendung nafsu jahat yang ada dalam diri.

Jika kita perhatikan kepada firman Allah yang telah saya bentangkan di permulaan post ini, seolah-olah hidayah itu hanya perlu ditunggu, bukan perlu dicari. Pemahaman begitulah yang sering berlaku kepada masyarakat kita hari ini. Sebagai contoh :

Da'ei : kenapa saudari tidak bertudung, sedangkan saudari seorang muslim?
Mad'u : owh maaf, belum sampai seru lagi. Insya-Allah nanti saya akan pakailah, tolong jangan jaga tepi kain orang ye. 


Dalam islam, istilah 'jaga tepi kain orang' adalah satu tuntutan kepada ummat Nabi Muhammad SAW sepertimana firman Allah SWT "sesungguhnya kamu adalah sebaik-baik ummah, kamu mengajak kearah kebaikan dan kamu mencegah dari berlaku kemungkaran". Jadi dengan jelasnya dalil dalam Al-Quran, mulianya kita ummat Muhammad SAW adalah kerana kita saling ingat mengingati sesama muslim. Kemudian berkaitan dengan 'belum sampai seru', ini juga merupakan satu trend alasan bagi golongan yang berkeras hati untuk melanggar arahan syara'. Sedangkan dalam Al-Quran telah lama dinyatakan hukum hakam tentang semua itu.

Jika kita perhatikan kepada sirah, para sahabat terdahulu apabila datangnya seru supaya tinggalkan minum arak, tanpa segan silu dan tanpa memikirkan akan kerugian, mereka terus menghancurkan botol-botol arak yang disimpan yang sangat bernilai harganya. Hebatnya pengorbanan mereka jika nak dibandingkan dengan kita. Allah seru supaya menutup aurat, tudung bukannya mahal, bahkan setiap pembelian kita untuk kebaikan akan diganjarkan oleh Allah kelak. Firman Allah SWT :

ومن يؤمن بالله يهد قلبه
"sesiapa yang beriman kepada Allah, maka Allah akan pandu hatinya" (At-Taghabun:11)

 Hidayah itu mesti dicari, berdasarkan firman Allah SWT diatas jelas jika kita mahukan hidayah Allah, kita mesti berusaha melakukan perbuatan-perbuatan yang mengundang kepada jalan sebenar perbuatan tersebut. Walaupun di peringkat awalnya kita seolah-olah terpaksa untuk melakukannya, paksaan itulah kelak akan menjadi kunci tarbiyah(latihan) kepada hati untuk menerima dengan ikhlas. Sebagai contoh kita tidak khusyuk dalam solat, ulamak ada menggariskan panduan-panduan dan diantaranya adalah berolok-olok menangis. Pada awalnya ia adalah paksaan pada diri, bahkan apabila diulangi ia akan mendidik hati supaya ikhlas pada Allah.

 Sangat jelas dan terang, jika seseorang itu inginkan kebaikan ke atas dirinya, maka dia akan berusaha mencari jalan hidayah. Sebaliknya jika seseorang tidak inginkan kebaikan ke atas dirinya, maka dia sedikit pun tidak akan berusaha melakukan perbuatan-perbuatan kebaikan tersebut bahkan melebihkan usahanya pada perbuatan yang mengundang murka Allah. Ingatlah pada firman Allah SWT :

فمن يرد الله أن يهديه يشرح صدره للإسلام ومن يرد أن يضله يجعل صدره ضيقا حرجا كأنما يصعد في السماء....إلخ 
 "sesiapa yang dikehendaki Allah petunjuk maka Ia permudahkan jiwanya untuk menerima ajaran Islam, dan sesiapa yang dikehendaki Allah kesesatan Ia susahkan jiwanya untuk menerima ajaran Islam, susahnya seperti dia sedang mendaki langit"(Al-An'am:125)