Pages

Wednesday 13 February 2013

Tetamu Ilahi

بسم الله الرحمن الرحيم


Alhamdulillah setinggi syukur pada Ilahi kerana masih mengekalkan nikmat Iman dan Islam dan masih diberi peluang untuk menulis. Sesungguhnya menulis di blog ini merupakan salah satu nikmat Allah yang besar yang sering dilupakan oleh penulis-penulis dan kelebihan yang Allah berikan untuk berfikir dalam mengeluarkan idea-idea untuk menulis. Semoga penulisan adalah penulisan pahala, penghayatan adalah penghayatan agama. 

InsyaAllah diri kita bakal dipanggil Ilahi tidak lama lagi, yang mana masa tidak diberitahu, tempat tidak dimaklumkan dan segalanya adalah kunci rahsia Allah SWT.

Allah SWT berfirman :

كل نفس ذآئقة الموت 
"setiap yang bernafas itu pasti akan menemui kematian"

Jelas dengan firman Allah bahawa kita, semestinya bakal menemui kematian. Persoalannya, bersediakah kita untuk menghadapinya sedang dalam masa yang sama kita tidak tahu bilakah ia bakal menjemput kita. Cuba bayangkan, kematian kita tatkala kita melakukan maksiat pada Allah, sungguh menyesal diri sehingga tidak terkata.

Kerana itulah kita mesti mewajibkan diri untuk sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi kematian. Orang yang beriman adalah mereka yang sentiasa siap sedia menghadapi mati, dan disanalah ada golongan yang tidak takut kepada kematian kerana dalam keadaan mana sekalipun, diri mereka telah bersiap sedia untuk dipanggil menghadap Ilahi. Adapun disana juga ada golongan yang takut mati, kerana diri mereka masih tidak bersiap untuk perkara kebaikan sedang dalam kehidupan mereka dipenuhi dengan maksiat pada Allah. Jika dilihat umat Islam hari ini, seolah-olah mereka tahu bilakah mereka akan mati kerana amalan yang dilakukan setiap hari tidak menggambarkan seorang hamba Ilahi.


InsyaAllah diri ini bakal menjadi tetamu Ilahi buat kali ke seterusnya, moga-moga Allah sentiasa memilih diri ini untuk sentiasa menjadi tetamuNya. Benar, mereka yang bekemampuan akan mudah menjadi tetamu Ilahi, tapi itu hanya di mata manusia. 

Kita perlu yakin, bukan mereka yang berkemampuan itu sentiasa dipanggil Ilahi dan bukan mereka yang tidak berkemampuan itu tidak sesekali dipanggil Ilahi. Kadang-kadang duit yang banyak akan melaghokan diri sehingga tidak terniat untuk merapatkan diri padaNya bahkan kadang-kadang, duit yang sedikit mengajar diri untuk bersyukur atas qada' qadar Allah SWT yang sekaligus merapatkan diri padaNya. 

Berkemungkinan duit yang banyak akan melalaikan ibadah yang dilakukan kerana terlalu selesa dan berkemungkinan duit yang sedikit bakal mendidik iman melakukan ibadah dengan sempurna kerana mujahadah yang sering dilakukan dalam mengerjakan ibadah padaNya.

Mohon doa dari sahabat-sahabat agar dengan pemergian saya ke tanah suci kali ini akan menyuburkan Iman yang terlalu lemah, menjernihkan pemikiran yang terlalu kotor serta menyucikan hati yang terlalu hitam. Semoga diberikan kesempatan oleh Allah untuk berjumpa dengan kekasihNya Muhammad SAW serta para sahabat baginda, diberi kesempatan untuk menghayati sirah baginda serta diberikan ganjaran Rahmat diatas segala yang dilakukan semata-mata keranaNya.

Amiin Ya Rabbal 'aalamiin







2 comments:

  1. Insyaallah. Sama2 kita mengharapkan yg terbaik setiap kali menjadi tetamuNYA

    ReplyDelete
  2. adik nir, tolong update la blog nih. tempat ini mengingatkan pada arwah...

    ReplyDelete