Pages

Tuesday 5 February 2013

Tips Umrah

Baitullahil Haram yang diidamkan seluruh ummat Islam untuk mengunjunginya. Semulia-mulia tempat di dunia
بسم الله الرحمن الرحيم
Alhamdulillah, dan seterusnya alhamdulillah pada Allah, selawat dan salam pada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli bait baginda sahabat-sahabat serta seluruh ummat yang sentiasa mengikuti jejak Sunnah sehingga ke akhirat kelak. Moga-moga kita tergolong dikalangan mereka..amiin

Post kali ini sedikit sebanyak memotivasikan diri yang bakal mengerjakan ibadah umrah pada bulan ini untuk tahun ini, terasa ingin saya berkongsi sedikit pengalaman yang lepas untuk tatapan sahabat-sahabat sekelian terutamanya mereka yang pertama kali akan mengerjakan umrah ditanah suci. Post kali ini bukan keseluruhan dari saya, tapi ia juga perkongsian dari sahabat yang lain. Semoga ianya bakal memberikan kebaikan yang sangat-sangat bermakna untuk kita di dunia lebih-lebih lagi di akhirat kelak. Tips-tips ini lebih berbentuk persediaan menunaikan ibadah umrah hasil dari pengalaman saya mengerjakan Umrah. Semoga dengan titipan nukilan ini dapat membantu persediaan dan perjalanan sahabat-sahabat. dan semoga Allah meredhai serta memberikan ganjaran yang setimpal dengan ibadah kita.

Saya bahagikan tips-tips ini kepada tiga perkara iaitu:

Persediaan sebelum pergi menunaikan umrah
Semasa berada di tanah suci (Mekah dan Madinah)
Selepas kembali menunaikan umrah

a. Persediaan Sebelum Pergi Menunaikan Umrah
Latih diri kita mendekati masjid ditempat kita tinggal.
Sekiranya dahulu kita sering solat dirumah, biasakanlah solat berjemaah di masjid. Sekiranya terdapatnya majlis-majlis ilmu, rajin-rajinkanlah menghadirkan diri ke majlis yang dihadiri para malaikat kerana dengan hadirnya diri ke majlis-majlis ilmu bakal melembutkan hati kita dan sekaligus akan mudah melaksanakan ibadah umrah nanti.

Perbanyakkanlah Solat Sunat.
Solat sunat seperti solat sunat hajat, solat sunat taubat dan solat sunat tahajud adalah bertujuan untuk membersihkan diri kita dari dosa-dosa lampau yang banyak telah kita lakukan. Ia juga membantu kita bermunajat kepadaNya dan memohon keampunan dan taubat diatas perbuatan-perbuatan kita yang lalu dan moga-moga Allah mengampuni kita. Ia juga adalah tempat kita memohon perlindungan agar dipermudahkan perjalanan pergi dan balik mengerjakan ibadah.

Perbanyakkan membaca Al Quran.
Selain daripada pahala yang kita perolehi dari membacanya, ia amat bermanfaat kerana apabila kita berada di tanahsuci selain dari ibadah umrah, pembacaan al-Quran adalah sesuatu yang amat digalakkan dan sekiranya dapat kita mengkhatam alQuran dalam masa ibadah tersebut adalah menjadi satu kebaikan yang teramat besar ganjarannya kepada kita.

Baca buku-buku berkenaan umrah, ziarah bumi Madinah dan Mekah.
Pembacaaan buku-buku ilmiah yang berkaitan dengan ibadah umrah serta sejarah tempat-tempat yang bakal dilawati akan menaikkan lagi kemanisan dalam beribadah, bahkan jika sejarah difahami, kita akan dapat menilai dan menghayati dengan sendiri akan tempat-tempat yang bakal dilawati sekaligus cinta kepada bumi kekasih Allah bakal kita ingati.

Buatlah latihan fizikal.
Latihan fizikal seperti berjalan kaki sejauh purata 3 - 4 km, 2 kali seminggu adalah persediaan yang terbaik untuk membiasakan diri kita yang rata-rata akan menggunakan tenaga semasa pergi dan balik ke masjid, melakukan tawaf serta saie (Saie dari Safa ke Marwah adalah lebih kurang 420 meter dan yang mengerjakan Saie akan berulang alik sejauh 2, 940 meter bersamaan lebih kurang 3 km). Ingatlah latihan ini adalah ikhtiar kita kerana yang menentukan kekuatan dan tenaga itu adalah dari Allah.

Masjid Nabawi dikala petang menjelma
b. Semasa Berada Di Tanah Suci Mekah dan Madinah
Sikap dan Mentaliti.
Berada di bumi yang diberkati ini memerlukan kita fokus dalam ibadah kita seharian. Diantara sikap dan mentaliti yang utama yang perlu kita terapkan adalah sifat sabar dalam banyak perkara terutama hubungan dengan Allah dan manusia kerana disinilah kita akan berjumpa dengan sekelian manusia dari seluruh pelusuk dunia ini dengan pelbagai ragam menurut adat serta peradaban mereka.

Sifat sabar ini merangkumi semua aspek terutamanya apabila kita mula menjejakkan kaki kita di Lapangan Terbang Jeddah atau Madinah, cara layanan kaunter Imigresen, sikap mat-mat bangla yang membantu mengangkat luggage jemaah dan mengenakan tips yang cukup tinggi (kalau boleh tolaklah sendiri troli), pengangkutan, kebersihan, hotel tempat tinggal samada jauh atau dekat dari masjid, makanan yang kita makan, sikap masyarakat Arab yang kadangkalanya kasar dan kadangkalanya sombong, adab-adab didalam masjid yang kadangkala akan benar-benar menguji kesabaran kita.

Kesabaran juga berbentuk hubungan kita dengan suami atau isteri atau anak atau ahli jemaah kita sendiri. Ada kalanya pergaduhan suami atau isteri berlaku dan sebagainya.

Jauhilah sikap suka merungut akan sesuatu yang berlaku. Anggaplah ia sebagai ujian dari Allah swt yang mahu menilai akan tahap kesabaran kita.

Persoalan-persoalan Mengenai Ibadah Umrah.
Walau berapa kali pun kita telah menjejakkan kaki kita ke tanah suci, perkara-perkara yang kita tidak berapa faham atau mushkil, tanyalah kepada para mutawif atau ustaz atau ustazah yang mengiringi kita. Kadangkala apabila disana, terpandang oleh kita jemaah-jemaah lain yang datangnya dari Turki, Iran, China, India atau Pakistan berbuat sesuatu yang lain dari apa yang kita buat. Janganlah kita membuta tuli mengikuti cara mereka contoh adakalanya semasa solat fardu mereka bersama-sama isteri mereka solat sebelah menyebelah suami isteri dikawasan jemaah lelaki. Kita pun sebab takut isteri kita hilang atau berjauhan dengan mereka, kita pun berbuat demikian. Nampaknya seperti dibolehkan tetapi tanyalah kepada ustaz untuk mendapat kepastian. Lakukanlah ibadah umrah dengan hati yang ikhlas, tenang dan sabar.

Ungkapan lisan dan hati.
Dalam bab ini, saya ingin merujuk kembali mengenai persediaan kita sebelum berangkat  iaitu dengan kita selalu solat taubat, solat hajat dan beberapa solat sunat lagi ia membantu membersihkan hati kita apabila kita berada di tanah suci.

Adakalanya hati terdetik berkenaan sesuatu, sesuatu itu akan berlaku tanpa kita sedari. Kebanyakkan detik hati pada isu keburukan malah apapun perbuatan yang mendatangkan rasa riak, sombong mestilah dijauhkan. Kadangkala hanya dengan ucapan kita, ”jangan takut..tak hilang selipar tu kalau letak kat situ”, ada kalanya betul-betul hilang selipar itu. Sekiranya kita tersedar dari perkara-perkara ini, berisgtifarlah dan pohonlah keampunan dariNya.
Tidaklah cukup kemampuan manusia hanya dengan berikhtiar, setinggi-tinggi ikhtiar adalah tawakkal padaNya
Kepentingan doa dalam setiap perkara.
Doa amat memainkan peranannya dalam aspek kehidupan kita lebih-lebih lagi apabila berada ditanah suci Mekah dan Madinah. Setiap apa kesusahan atau perkara-perkara yang hendak kita lakukan, berdoalah dengan penuh keyakinan, insyaAllah Allah akan memakbulkan, seperti contoh kita mahu melakukan tawaf diwaktu puncak. Sebelum memulakan, berdoalah supaya dipermudahkan, insyaAllah akan dipermudahkan ibadah tersebut.

Aktiviti Didalam Masjid.
Masjidil Haram dan Masjid Nabawi adalah 2 masjid tersuci bagi umat Islam. Setelah beribu batu datang dari Malaysia dan membayar beribu ringgit untuk sampai kesana maka pergunakalah masa yang ada untuk membuat ibadah umrah,  solat berjemaah di masjid dan berikhtikaf didalamnya kecuali ditimpa musibab seperti demam atau tidak berupaya kemasjid.

DiMasjidil Haram, gunakanlah masjid untuk beribadah sepenuh-penuhnya seperti tawaf sunat, solat sunat, membaca al Quran, melihat Kaabah (melihat Kaabah mendapat pahala disisi Allah). Kadangkalanya kita akan beriktikaf di masjid bermula dari waktu Maghrib ke Isyak, kadang-kadang dari waktu Asar sehingga Isyak. Semasa kita berikhtikaf ini, lakukanlah perkara-perkara seperti tawaf sunat, membaca al Quran, solat sunat, bersedekah seperti mengambilkan air zam-zam untuk diberikan kepada jemaah yang berdekatan.

Itulah diantara sebabnya pada tips persediaan untuk menunaikan umrah itu saya selitkan faktor seperti menjinakkan diri kita dengan menghadiri majlis ilmu agar kita dapat beriktikaf dimasjid ditempat tinggal kita. Dengan demikian tidaklah terasa janggal atau akan berputar persoalan dikepala apa nak buat dalam masjid  sementara menunggu waktu Asar sehingga Isya.

Apabila di Masjid Nabawi, ingatlah supaya kita perlu meletakkan tertib kita lebih tinggi apabila berada di dalam masjid terutamanya apabila kita berbual-bual. Didalam sirah Nabi saw, perkara ini dinyatakan agar kita tidak meninggikan suara kita dan terdapat ayat  al Quran tersebut yang diletakkan di atas dinding Makam Nabi saw apabila kita menziarahi makam beliau.
Iktikaf merupakan ibadah yang paling mudah, ianya tidak akan sia-sia kecuali dilimpahi dengan pahala. Apatah lagi amalan ini dilakukan di tanahsuci
Lawatan Ziarah .
Turutilah lawatan-lawatan dan ziarah ini agar kita dapat memahami keperitan, kesusahan, tahap keimanan mereka yang terdahulu iaitu mereka yang bersama-sama Rasulullah saw memperjuangkan Islam.

Kesihatan.
Untuk menjalankan ibadah-ibadah ditanah suci ini amat memerlukan kudrat(kemampuan). Sekiranya pemergian kita itu diwaktu musim panas, disarankan perbanyakanlah minum air kerana air zam-zam di masjid  ada disetiap laluan atau tiang agar kesihatan terpelihara walaupun pada Nya kita berserah.

c. Selepas Kembali Menunaikan Umrah.

Istiqamah
Beristiqamahlah selepas mengerjakan umrah dengan selalu berjemaah di surau atau di masjid dan menghadiri majlis-majlis ilmu agar hubungan kita denga Allah itu tidak putus ditengah jalan. Sentiasa hidupkan kehidupan berkeluarga dengan biah(suasana) Islamiah supaya roh Islam dalam diri kita tidak hilang hasil dari tidak ada biah Islamiah dalam keluarga.

Semoga ia memberikan manfaat kepada sahabat-sahabat yang akan mengerjakan ibadah umrah pertama kali dan saya berdoa agar sahabat-sahabat yang pergi menunaikan ibadah itu mendapat umrah yang mabrur.

Ingatlah bahawa pemergian insan ke tanah suci itu adalah jemputan khusus dariNya maka bersihkanlah hati dan jauhilah melakukan maksiat padaNya. Bukan semua yang berkemampuan dipilih, dan bukan semua yang tidak berkemampuan tidak akan dipilih, bertaqwalah pada Allah semoga kita tergolong dikalangan mereka yang dipilih.

2 comments: