Pages

Wednesday 13 February 2013

Tetamu Ilahi

بسم الله الرحمن الرحيم


Alhamdulillah setinggi syukur pada Ilahi kerana masih mengekalkan nikmat Iman dan Islam dan masih diberi peluang untuk menulis. Sesungguhnya menulis di blog ini merupakan salah satu nikmat Allah yang besar yang sering dilupakan oleh penulis-penulis dan kelebihan yang Allah berikan untuk berfikir dalam mengeluarkan idea-idea untuk menulis. Semoga penulisan adalah penulisan pahala, penghayatan adalah penghayatan agama. 

InsyaAllah diri kita bakal dipanggil Ilahi tidak lama lagi, yang mana masa tidak diberitahu, tempat tidak dimaklumkan dan segalanya adalah kunci rahsia Allah SWT.

Allah SWT berfirman :

كل نفس ذآئقة الموت 
"setiap yang bernafas itu pasti akan menemui kematian"

Jelas dengan firman Allah bahawa kita, semestinya bakal menemui kematian. Persoalannya, bersediakah kita untuk menghadapinya sedang dalam masa yang sama kita tidak tahu bilakah ia bakal menjemput kita. Cuba bayangkan, kematian kita tatkala kita melakukan maksiat pada Allah, sungguh menyesal diri sehingga tidak terkata.

Kerana itulah kita mesti mewajibkan diri untuk sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi kematian. Orang yang beriman adalah mereka yang sentiasa siap sedia menghadapi mati, dan disanalah ada golongan yang tidak takut kepada kematian kerana dalam keadaan mana sekalipun, diri mereka telah bersiap sedia untuk dipanggil menghadap Ilahi. Adapun disana juga ada golongan yang takut mati, kerana diri mereka masih tidak bersiap untuk perkara kebaikan sedang dalam kehidupan mereka dipenuhi dengan maksiat pada Allah. Jika dilihat umat Islam hari ini, seolah-olah mereka tahu bilakah mereka akan mati kerana amalan yang dilakukan setiap hari tidak menggambarkan seorang hamba Ilahi.


InsyaAllah diri ini bakal menjadi tetamu Ilahi buat kali ke seterusnya, moga-moga Allah sentiasa memilih diri ini untuk sentiasa menjadi tetamuNya. Benar, mereka yang bekemampuan akan mudah menjadi tetamu Ilahi, tapi itu hanya di mata manusia. 

Kita perlu yakin, bukan mereka yang berkemampuan itu sentiasa dipanggil Ilahi dan bukan mereka yang tidak berkemampuan itu tidak sesekali dipanggil Ilahi. Kadang-kadang duit yang banyak akan melaghokan diri sehingga tidak terniat untuk merapatkan diri padaNya bahkan kadang-kadang, duit yang sedikit mengajar diri untuk bersyukur atas qada' qadar Allah SWT yang sekaligus merapatkan diri padaNya. 

Berkemungkinan duit yang banyak akan melalaikan ibadah yang dilakukan kerana terlalu selesa dan berkemungkinan duit yang sedikit bakal mendidik iman melakukan ibadah dengan sempurna kerana mujahadah yang sering dilakukan dalam mengerjakan ibadah padaNya.

Mohon doa dari sahabat-sahabat agar dengan pemergian saya ke tanah suci kali ini akan menyuburkan Iman yang terlalu lemah, menjernihkan pemikiran yang terlalu kotor serta menyucikan hati yang terlalu hitam. Semoga diberikan kesempatan oleh Allah untuk berjumpa dengan kekasihNya Muhammad SAW serta para sahabat baginda, diberi kesempatan untuk menghayati sirah baginda serta diberikan ganjaran Rahmat diatas segala yang dilakukan semata-mata keranaNya.

Amiin Ya Rabbal 'aalamiin







Saturday 9 February 2013

Turkey : Ibrah of Journey (part 1)

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, pertama dan selamanya syukur pada Allah dengan segala nikmat yang dikurniakan. Musim sejuk di Mesir kali ini sedikit sebanyak mendorong diri ini mengingat kembali kenangan terindah berada di bumi Al-Fateh, Turki pada tahun 2012. Maklumlah, pengalaman pertama bertemu salji yang tebal sehingga mencecah -10 selsius..hehe. Tak tahulah kenapa, tiba-tiba rasa nak kongsikan gambar-gambar & apa yang terbenak dalam hati ketika menziarahi kota tersebut. Mungkin post kali ini ilmu yang berkonsepkan menghayati kehebatan Ilahi. 

Apapun, diantara yang paling menarik adalah tersergam indahnya sebuah binaan besar serta menjadi kemegahan ummat Islam satu ketika dulu (tp bagi saya sampai bila-bila) Masjid Sultan Muhammad Al-Fateh di tengah-tengah kota Istanbul. Disanalah tempat pertama yang kami lawati setibanya di Turki. Sungguh berbeza jika dilihat dalam gambar berbanding lihat secara 'live' depan mata. SubhanaAllah, masjid yang sangat besar, binaan yang sangat unik, dihiasi penuh dengan tulisan-tulisan kesenian Islam , alunan Al-Quran yang sungguh merdu & yang paling menarik adalah semua yang datang 'taajub' melihat kehebatan Islam.

sudut landscape -Blue Mosque
Negara Turki juga terkenal dengan kehebatan penulis-penulis khat hebat
pandangan sudut potrait



rekabentuk dalaman yang mengkagumkan

ketenangan terpancar sepertimana hakikat sebuah masjid yang diimarahkan
Kemudian perjalanan diteruskan ke sebuah tempat yang juga mempunyai nilai yang sangat tinggi di sisi Islam, iaitu Muzium Khilafah Uthmaniah. Disana segala yang berkenaan dengan zaman kebangkitan Islam di zaman Uthmaniah dipaparkan bahkan disana juga diselitkan dakwah kepada non-muslim untuk mengenalkan Islam dengan konsep yang sungguh mantap. Sungguh bangga melihat cara mereka 'berdakwah' sedemikian. Tapi sayang sekali, sesi fotografi tidak dibenarkan disana atas sebab-sebab keselamatan dan disanalah tripod murah saya telah dirampas oleh pihak keselamatan. Apa yang sempat diambil hanyalah diluar kawasan muzium tersebut. Pun jadilaaa....

perkarangan muzium
bukan selalu boleh main salji, manfaatkan nikmat yang diberikan olehNya


pemandangan di kota Istanbul yang dihiasi dengan senibina masjid yang cukup indah
Ini pula Grand Bazar. Sebuah pasar lama yang tersohor di seluruh dunia sejak zaman pemerintahan Turki Uthmaniah lagi. Tempat yang sangat luas lagi menarik, yang dipenuhi dengan pengunjung-pengunjung dari serata dunia dan mempunyai banyak barangan tempatan dari Turki. Harga barangan disana agak memuaskan, cuma macam biasa lah, kena la pandai tawar menawar..

salah satu laluan masuk ke Grand Bazar
pintu masuk ke Grand Bazar yang ditandai dengan logo kerajaan Turki Uthmaniah, sebuah kerajaan yang pernah memimpin kebangkitan ummat Islam satu ketika dahulu 

bersama Imam PULAPOL dan sahabat Ikhwan dari Mesir
Alhamdulillah, di hari pertama langkah telah dimulai dengan penuh pengajaran yang dapat dipelajari serta banyak kenangan yang dapat diamati dan dihayati. Kami menginap disebuah hotel yang bertaraf 4 star yang berhampiran dengan sebuah masjid yang besar. Banyak cerita serta gambar-gambar yang sebenarnya ingin dikongsikan, namun saya rasa cukup sekadar beberapa gambar serta keterangan yang terpilih yang boleh dikongsikan untuk menggambarkan sedikit sebanyak 'ibrah' perjalanan saya ke Turki.

Apa yang tersangat penting ialah, sesiapa sahaja mampu menjelajah untuk mencari pengalaman baru, namun bukan semua orang dapat mengambil ibrah(pengajaran) dari setiap apa yang dipelajari dari penjelajahan tersebut, lebih-lebih lagi jelajah ke sebuah negara yang amat bernilai history nya bagi ummat Islam. Semoga dengan niat kerana Allah, jelajah bukan hanya suka-suka, shoot gambar bukan hanya sia-sia, namun disana penuh dengan harapan agar dapat berkongsi pengalaman yang mampu mendekatkan diri kita denganNya, InsyaAllah :) part 2 coming soon...

Tuesday 5 February 2013

Tips Umrah

Baitullahil Haram yang diidamkan seluruh ummat Islam untuk mengunjunginya. Semulia-mulia tempat di dunia
بسم الله الرحمن الرحيم
Alhamdulillah, dan seterusnya alhamdulillah pada Allah, selawat dan salam pada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli bait baginda sahabat-sahabat serta seluruh ummat yang sentiasa mengikuti jejak Sunnah sehingga ke akhirat kelak. Moga-moga kita tergolong dikalangan mereka..amiin

Post kali ini sedikit sebanyak memotivasikan diri yang bakal mengerjakan ibadah umrah pada bulan ini untuk tahun ini, terasa ingin saya berkongsi sedikit pengalaman yang lepas untuk tatapan sahabat-sahabat sekelian terutamanya mereka yang pertama kali akan mengerjakan umrah ditanah suci. Post kali ini bukan keseluruhan dari saya, tapi ia juga perkongsian dari sahabat yang lain. Semoga ianya bakal memberikan kebaikan yang sangat-sangat bermakna untuk kita di dunia lebih-lebih lagi di akhirat kelak. Tips-tips ini lebih berbentuk persediaan menunaikan ibadah umrah hasil dari pengalaman saya mengerjakan Umrah. Semoga dengan titipan nukilan ini dapat membantu persediaan dan perjalanan sahabat-sahabat. dan semoga Allah meredhai serta memberikan ganjaran yang setimpal dengan ibadah kita.

Saya bahagikan tips-tips ini kepada tiga perkara iaitu:

Persediaan sebelum pergi menunaikan umrah
Semasa berada di tanah suci (Mekah dan Madinah)
Selepas kembali menunaikan umrah

a. Persediaan Sebelum Pergi Menunaikan Umrah
Latih diri kita mendekati masjid ditempat kita tinggal.
Sekiranya dahulu kita sering solat dirumah, biasakanlah solat berjemaah di masjid. Sekiranya terdapatnya majlis-majlis ilmu, rajin-rajinkanlah menghadirkan diri ke majlis yang dihadiri para malaikat kerana dengan hadirnya diri ke majlis-majlis ilmu bakal melembutkan hati kita dan sekaligus akan mudah melaksanakan ibadah umrah nanti.

Perbanyakkanlah Solat Sunat.
Solat sunat seperti solat sunat hajat, solat sunat taubat dan solat sunat tahajud adalah bertujuan untuk membersihkan diri kita dari dosa-dosa lampau yang banyak telah kita lakukan. Ia juga membantu kita bermunajat kepadaNya dan memohon keampunan dan taubat diatas perbuatan-perbuatan kita yang lalu dan moga-moga Allah mengampuni kita. Ia juga adalah tempat kita memohon perlindungan agar dipermudahkan perjalanan pergi dan balik mengerjakan ibadah.

Perbanyakkan membaca Al Quran.
Selain daripada pahala yang kita perolehi dari membacanya, ia amat bermanfaat kerana apabila kita berada di tanahsuci selain dari ibadah umrah, pembacaan al-Quran adalah sesuatu yang amat digalakkan dan sekiranya dapat kita mengkhatam alQuran dalam masa ibadah tersebut adalah menjadi satu kebaikan yang teramat besar ganjarannya kepada kita.

Baca buku-buku berkenaan umrah, ziarah bumi Madinah dan Mekah.
Pembacaaan buku-buku ilmiah yang berkaitan dengan ibadah umrah serta sejarah tempat-tempat yang bakal dilawati akan menaikkan lagi kemanisan dalam beribadah, bahkan jika sejarah difahami, kita akan dapat menilai dan menghayati dengan sendiri akan tempat-tempat yang bakal dilawati sekaligus cinta kepada bumi kekasih Allah bakal kita ingati.

Buatlah latihan fizikal.
Latihan fizikal seperti berjalan kaki sejauh purata 3 - 4 km, 2 kali seminggu adalah persediaan yang terbaik untuk membiasakan diri kita yang rata-rata akan menggunakan tenaga semasa pergi dan balik ke masjid, melakukan tawaf serta saie (Saie dari Safa ke Marwah adalah lebih kurang 420 meter dan yang mengerjakan Saie akan berulang alik sejauh 2, 940 meter bersamaan lebih kurang 3 km). Ingatlah latihan ini adalah ikhtiar kita kerana yang menentukan kekuatan dan tenaga itu adalah dari Allah.

Masjid Nabawi dikala petang menjelma
b. Semasa Berada Di Tanah Suci Mekah dan Madinah
Sikap dan Mentaliti.
Berada di bumi yang diberkati ini memerlukan kita fokus dalam ibadah kita seharian. Diantara sikap dan mentaliti yang utama yang perlu kita terapkan adalah sifat sabar dalam banyak perkara terutama hubungan dengan Allah dan manusia kerana disinilah kita akan berjumpa dengan sekelian manusia dari seluruh pelusuk dunia ini dengan pelbagai ragam menurut adat serta peradaban mereka.

Sifat sabar ini merangkumi semua aspek terutamanya apabila kita mula menjejakkan kaki kita di Lapangan Terbang Jeddah atau Madinah, cara layanan kaunter Imigresen, sikap mat-mat bangla yang membantu mengangkat luggage jemaah dan mengenakan tips yang cukup tinggi (kalau boleh tolaklah sendiri troli), pengangkutan, kebersihan, hotel tempat tinggal samada jauh atau dekat dari masjid, makanan yang kita makan, sikap masyarakat Arab yang kadangkalanya kasar dan kadangkalanya sombong, adab-adab didalam masjid yang kadangkala akan benar-benar menguji kesabaran kita.

Kesabaran juga berbentuk hubungan kita dengan suami atau isteri atau anak atau ahli jemaah kita sendiri. Ada kalanya pergaduhan suami atau isteri berlaku dan sebagainya.

Jauhilah sikap suka merungut akan sesuatu yang berlaku. Anggaplah ia sebagai ujian dari Allah swt yang mahu menilai akan tahap kesabaran kita.

Persoalan-persoalan Mengenai Ibadah Umrah.
Walau berapa kali pun kita telah menjejakkan kaki kita ke tanah suci, perkara-perkara yang kita tidak berapa faham atau mushkil, tanyalah kepada para mutawif atau ustaz atau ustazah yang mengiringi kita. Kadangkala apabila disana, terpandang oleh kita jemaah-jemaah lain yang datangnya dari Turki, Iran, China, India atau Pakistan berbuat sesuatu yang lain dari apa yang kita buat. Janganlah kita membuta tuli mengikuti cara mereka contoh adakalanya semasa solat fardu mereka bersama-sama isteri mereka solat sebelah menyebelah suami isteri dikawasan jemaah lelaki. Kita pun sebab takut isteri kita hilang atau berjauhan dengan mereka, kita pun berbuat demikian. Nampaknya seperti dibolehkan tetapi tanyalah kepada ustaz untuk mendapat kepastian. Lakukanlah ibadah umrah dengan hati yang ikhlas, tenang dan sabar.

Ungkapan lisan dan hati.
Dalam bab ini, saya ingin merujuk kembali mengenai persediaan kita sebelum berangkat  iaitu dengan kita selalu solat taubat, solat hajat dan beberapa solat sunat lagi ia membantu membersihkan hati kita apabila kita berada di tanah suci.

Adakalanya hati terdetik berkenaan sesuatu, sesuatu itu akan berlaku tanpa kita sedari. Kebanyakkan detik hati pada isu keburukan malah apapun perbuatan yang mendatangkan rasa riak, sombong mestilah dijauhkan. Kadangkala hanya dengan ucapan kita, ”jangan takut..tak hilang selipar tu kalau letak kat situ”, ada kalanya betul-betul hilang selipar itu. Sekiranya kita tersedar dari perkara-perkara ini, berisgtifarlah dan pohonlah keampunan dariNya.
Tidaklah cukup kemampuan manusia hanya dengan berikhtiar, setinggi-tinggi ikhtiar adalah tawakkal padaNya
Kepentingan doa dalam setiap perkara.
Doa amat memainkan peranannya dalam aspek kehidupan kita lebih-lebih lagi apabila berada ditanah suci Mekah dan Madinah. Setiap apa kesusahan atau perkara-perkara yang hendak kita lakukan, berdoalah dengan penuh keyakinan, insyaAllah Allah akan memakbulkan, seperti contoh kita mahu melakukan tawaf diwaktu puncak. Sebelum memulakan, berdoalah supaya dipermudahkan, insyaAllah akan dipermudahkan ibadah tersebut.

Aktiviti Didalam Masjid.
Masjidil Haram dan Masjid Nabawi adalah 2 masjid tersuci bagi umat Islam. Setelah beribu batu datang dari Malaysia dan membayar beribu ringgit untuk sampai kesana maka pergunakalah masa yang ada untuk membuat ibadah umrah,  solat berjemaah di masjid dan berikhtikaf didalamnya kecuali ditimpa musibab seperti demam atau tidak berupaya kemasjid.

DiMasjidil Haram, gunakanlah masjid untuk beribadah sepenuh-penuhnya seperti tawaf sunat, solat sunat, membaca al Quran, melihat Kaabah (melihat Kaabah mendapat pahala disisi Allah). Kadangkalanya kita akan beriktikaf di masjid bermula dari waktu Maghrib ke Isyak, kadang-kadang dari waktu Asar sehingga Isyak. Semasa kita berikhtikaf ini, lakukanlah perkara-perkara seperti tawaf sunat, membaca al Quran, solat sunat, bersedekah seperti mengambilkan air zam-zam untuk diberikan kepada jemaah yang berdekatan.

Itulah diantara sebabnya pada tips persediaan untuk menunaikan umrah itu saya selitkan faktor seperti menjinakkan diri kita dengan menghadiri majlis ilmu agar kita dapat beriktikaf dimasjid ditempat tinggal kita. Dengan demikian tidaklah terasa janggal atau akan berputar persoalan dikepala apa nak buat dalam masjid  sementara menunggu waktu Asar sehingga Isya.

Apabila di Masjid Nabawi, ingatlah supaya kita perlu meletakkan tertib kita lebih tinggi apabila berada di dalam masjid terutamanya apabila kita berbual-bual. Didalam sirah Nabi saw, perkara ini dinyatakan agar kita tidak meninggikan suara kita dan terdapat ayat  al Quran tersebut yang diletakkan di atas dinding Makam Nabi saw apabila kita menziarahi makam beliau.
Iktikaf merupakan ibadah yang paling mudah, ianya tidak akan sia-sia kecuali dilimpahi dengan pahala. Apatah lagi amalan ini dilakukan di tanahsuci
Lawatan Ziarah .
Turutilah lawatan-lawatan dan ziarah ini agar kita dapat memahami keperitan, kesusahan, tahap keimanan mereka yang terdahulu iaitu mereka yang bersama-sama Rasulullah saw memperjuangkan Islam.

Kesihatan.
Untuk menjalankan ibadah-ibadah ditanah suci ini amat memerlukan kudrat(kemampuan). Sekiranya pemergian kita itu diwaktu musim panas, disarankan perbanyakanlah minum air kerana air zam-zam di masjid  ada disetiap laluan atau tiang agar kesihatan terpelihara walaupun pada Nya kita berserah.

c. Selepas Kembali Menunaikan Umrah.

Istiqamah
Beristiqamahlah selepas mengerjakan umrah dengan selalu berjemaah di surau atau di masjid dan menghadiri majlis-majlis ilmu agar hubungan kita denga Allah itu tidak putus ditengah jalan. Sentiasa hidupkan kehidupan berkeluarga dengan biah(suasana) Islamiah supaya roh Islam dalam diri kita tidak hilang hasil dari tidak ada biah Islamiah dalam keluarga.

Semoga ia memberikan manfaat kepada sahabat-sahabat yang akan mengerjakan ibadah umrah pertama kali dan saya berdoa agar sahabat-sahabat yang pergi menunaikan ibadah itu mendapat umrah yang mabrur.

Ingatlah bahawa pemergian insan ke tanah suci itu adalah jemputan khusus dariNya maka bersihkanlah hati dan jauhilah melakukan maksiat padaNya. Bukan semua yang berkemampuan dipilih, dan bukan semua yang tidak berkemampuan tidak akan dipilih, bertaqwalah pada Allah semoga kita tergolong dikalangan mereka yang dipilih.