Pages

Sunday 17 June 2012

Israk & Mikraj: Peristiwa yang diabaikan

بسم الله الرحمن الرحيم


Sempena dengan bulan Rejab, bulan yang masyhur di kalangan umat Islam, yang padanya berlaku satu peristiwa yang agung iaitu Israk & Mikraj Rasulullah SAW, peristiwa yang diabadikan oleh Allah SWT melalui Al-Quran dan disebut oleh Nabi Muhammad SAW di dalam hadith-hadith sahih. Hari ini kita berada di tarikh yang bersejarah itu iaitu 27 Rejab, meskipun ada berlaku khilaf dikalangan ulamak tentang tarikh yang tepat terjadinya peristiwa agung ini, namun kebanyakan daripada ulamak-ulamak bersepakat tarikh 27 Rejab merupakan tarikh yang sah. Tajuk yang saya lontarkan agak pelik sedangkan kita percaya hari ini umat Islam sangat mudah memperingati tarikh peristiwa ini, kerana teknologi yang canggih yang membolehkan manusia menyebarkan maklumat-maklumat tentang peristiwa ini. Namun sejauh mana penghayatan tentang pengertian peristiwa ini dihayati? Ramai ummat Islam yang tahu tentang perjalanan Israk dan Mikraj Nabi Muhammad SAW, mereka boleh membaca dan melihatnya di buku-buku serta blog-blog yang banyak dikongsikan oleh sahabat-sahabat blogger. Di sini urutan peristiwa Israk dan Mikraj http://www.iluvislam.com/tazkirah/bulan-islam/2868-peristiwa-israk-dan-mikraj-dan-pengajaran-yang-perlu-di-hayati.html

Peristiwa besar ini menceritakan tentang Nabi kita Muhammad SAW dijemput menjadi tetamu Allah SWT dalam satu lawatan yang besar lagi bersejarah. Kebiasaannya tetamu negara akan dibawa melawat ke bilik gerakan negara untuk melihat segala perancangan dan projek yang telah dilaksanakan dan yang akan dilaksanakan. Mereka hanya akan dibawa melawat ke tempat yang berjaya sahaja. Bahkan tempat-tempat yang tidak berjaya disembunyikan.

Adapun pada malam Israk & Mikraj, Allah SWT membawa Rasul SAW mengikut riwayat yang sahih dengan roh dan jasad, bukan roh sahaja iaitu melalui mimpi sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ummi Mukminin Aisyah RA dan Muawiyyah bin Abi Sufyan RA. Para ulamak hadith menolak riwayat Aisyah kerana pada masa itu beliau masih kanak-kanak dan para ulamak menolak riwayat Muawiyyah kerana pada masa itu beliau belum lagi memeluk Islam. Pendapat yang sahih iaitu peristiwa Israk & Mikraj berlaku dengan roh dan jasad.

Nabi SAW dibawa melihat alam syahadah, alam yang dapat dilihat dengan mata kasar, alam ghaib, alam yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Alam barzakh, alam kubur, alam para malaikat, alam mereka yang telah meninggal dunia, alam akhirat, alam bumi dan alam langit. Alam manusia bermula daripada zaman Nabi Adam AS sehinggalah menusia dibangkitkan oleh Allah kembali. Alam ghaib dipertemukan dengan makhluk-makhluk halus iaitu para malaikat, jin, iblis dan syaitan. 

Perjalanan yang begitu jauh dan unik sedangkan ahli sains angkasa lepas mengukur jarak bintang-bintang terlalu jauh. Begitulah jauhnya jarak bintang sedangkan bintang-bintang itu adalah bidasan langit. Al-Quran membuktikan kekuasaan Allah sepertimana dalam firmanNya yang bermaksud:

"Dan sesungguhnya Kami telah menghiasi langit dunia dengan bintang-bintang cakerawala dan Kami jadikan bintang-bintang cakerawala itu serpihan-serpihan(tahi-tahi bintang yang sempit) yang menjadi rejaman kepada syaitan dan Kami sediakan untuk mereka azab yang membakar."(Al-Mulk:5) 

Bintang-bintang itu di langit dunia sedangkan Nabi SAW melintasi kawasan langit yang tertutup sehingga ke Sidratul Muntaha, kawasan yang tidak boleh ditembusi oleh cahaya sehingga malaikat Jibril AS yang mengiringi Rasulullah SAW terpaksa berundur kerana malaikat dicipta daripada cahaya. Sekiranya kita melihat dan merenung ayat yang menceritakan peristiwa ini membawa kita beriman dengan Allah SWT. Ayat "سبحان الذي أسرى بعبده لبلا" yang bermaksud: "Maha Suci Allah yang menperjalankan hambaNya di waktu malam".

Perkataan "Subha" satu perkataan yang agung di sisi Allah SWT. Betapa besarnya perkataan ini sehingga apabila disebut Subhanallah Walhamdulillah Wallahuakbar 33 kali selepas menunaikan solat fardhu, diampunkan dosa-dosa yang kecil awalaupun sebesar pasir di bumi. Ini adalah riwayat hadith yang sohih, bukan dari hadith yang dhaif, yang maudhu, yang kebiasaannya terdapat dalam kitab-kitab. 

الطهور شطرالإيمان والحمد لله تملأ الميزان....إلخ
"Suci itu sebahagian dari Iman, dan Alhamdulillah memenuhi timbangan..."(riwayat Muslim)

Allah memulakan peristiwa Israk dan Mikraj di dalam ayat Al-Quran dengan perkataan "سبحان الذي أسرى بعبده لبلا" yang bermaksud: "Maha Suci Allah yang menjalankan hambaNya di waktu malam". Nabi Muhammad SAW tidak meminta supaya dibawa berjalan dan bukan Nabi yang mencipta perjalanan ini tetapi Allah SWT memperjalankan Nabi Muhammad. Allah SWT Yang Maha Pencipta, Maha Agung dan Maha Suci ini melakukan Israk dan Mikraj kepada Nabi Muhammad SAW dengan menghapuskan perhitungan masa, segala unsur-unsur duniawi dan segala-galanya. Disebut juga perkataan "hambaNya" didalam ayat tersebut iaitu Nabi Muhammad SAW adalah kerana itu merupakan panggilan sanjungan serta panggilan kemuliaan kepada baginda SAW.

Sebelum Nabi Muhammad SAW dijemput menjadi tetamu Allah SWT pada malam Israk dan Mikraj, baginda telah diuji oleh Allah dengan tawaran untuk menjadi raja oleh kaumnya, tawaran untuk menjadi pemimpin serta tawaran harta benda yang sangat banyak. Semua tawaran itu ditolak oleh Nabi SAW kerana tidak berlandaskan kepada menegakkan Islam lalu berlakulah kezaliman terhadap keluarga baginda dan sahabat-sahabat baginda sehingga ada yang meninggal dunia. Allah memerintahkan kepada Nabi Muhammad supaya bersabar dan tidak menggunakan kekerasan sehingga pada ketika itu, dua orang 'pelindung' baginda meninggal dunia iaitu bapa saudara baginda Abu Talib dan diikuti dengan isteri kesayangan baginda Khadijah binti Khuwailid, Ummi mukminin yang banyak membelanjakan harta ke jalan dakwah Nabi SAW.

 Setelah ketiadaan dua 'pelindung' Nabi SAW itu, maka bermulalah kezaliman terhadap diri Nabi, sehingga menyebabkan Rasulullah berhijrah ke Taif. Apabila sampai di Taif, penduduk Taif bukan sahaja tidak menerima Islam bahkan mereka lebih ganas daripada penduduk Mekah. Rombongan Nabi dizalimi sehingga baginda mendapat luka parah di kepala pada masa itu. Lalu Rasulullah terus bermunajat kepada Allah SWT yang bermaksud:

"Ya Allah, aku mengadu kepadaMu lemahnya aku dan tiada ilmu padaku, Engkau Tuhanku, Engkaulah Tuhan orang-orang yang lemah tertindas di bumi ini. Adakah Engkau serahkan aku kepada mereka yang tidak mengenaliku dan kepada musuh yang boleh melakukan apa sahaja terhadapMu. Jika sekiranya tiada murkaMu, nescaya aku tidak peduli". 

Munajat Nabi ini membuktikan  tentang kebimbangan Nabi terhadap murka Allah kalau-kalau belum lagi terjalan tugas dengan sempurna oleh jasad yang sudah berdarah dihentam oleh musuh di mana baginda merasakan bahawa baginda belum lagi menjalankan tugas dengan sempurna. Kemudian Allah mengutuskan malaikat untuk meminta izin daripada Nabi Muhammad SAW untuk mengangkat bukit-bukit Mekah dan Taif untuk dihempaskan ke atas orang-orang yang menzalimi Nabi. Sebagaimana yang pernah dilakukan terhadap kaum Luth, kaum Thamud, dan kaum-kaum lain.

Apabila malaikat datang menemui Nabi SAW, baginda tidak mengizinkan perkara itu berlaku walaupun mereka itu zalim, jahat dan tidak beriman. Rasulullah SAW percaya, kelak mereka akan melahirkan zuriat-zuriat yang beriman kepada Allah, dan Rasulullah berdoa semoga Allah memberikan mereka yang menzalimi baginda dengan keturunan yang beriman. Sehingga anak penzalim tegar kepada Nabi, Abu Jahal sendiri iaitu Ikrimah telah beriman kepada Allah diikuti beberapa lagi anak-anak mereka yang menzalimi baginda. Betapa hebatnya akhlak Rasulullah SAW sehingga yang menzalimi didoakn kebaikan, apatah lagi yang berbuat baik kepadanya.

Di dalam peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah SAW dipertemukan dengan para rasul bermula dari Nabi Adam AS. Rasulullah melihat ada rasul yang mempunyai pengikut yang ramai dan da rasul yang mempunyai pengikut yang sedikit, ada rasul yang mati dibunuh iaitu Nabi Yahya dan Nabi Zakaria. Ada rasul yang ditangkap oleh penduduk kampung kemudian dikurung di dalam telaga, diletakkan batu besar diatasnya, ada rasul yang tidak ada pengikut langsung. Inilah perjuangan yang dialami oleh rasul-rasul di zaman dahulu. Betapa hebatnya tadhiyyah mereka yang perlu diikuti oleh para da'ei. Mengajak ke jalan Allah adalah sangat memeritkan, jika ia tiada cabaran, itu bukan jalan dakwah yang sebenar. Allah SWT berfirman yang bermaksud
 "Sekiranya jalan menyeru kebaikan itu mudah dan perjalanannya yang tidak jauh, pastilah mereka akan mengikutimu, tetapi tempat yang hendak dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: Jika kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu" Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahwa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta".


  Ramai dikalangan kita hari ini, apabila membaca kisah Israk dan Mikraj merasakan ia adalah kisah hiburan semata-mata. Padahal perjalanan Rasulullah SAW pada malam Israk dan Mikraj sebenarnya itulah perjalanan hidup kita sebelum kita meninggal dunia. Menurut Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi, menerusi peristiwa berkenaan, kita boleh fokuskan kepada dua perkara penting, pertama berhubung dengan Masjid al-Aqsa dan hubungan dengan Masjid al-Haram, kedua mengenai kewajipan solat yang diserahkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW. Persoalannya di sini, mengapa Allah tidak memperjalankan baginda terus ke langit ketujuh, tetapi singgah dahulu di Masjid al-Aqsa? Ini kerana Allah mahukan agar baginda bertemu dengan para anbiya terlebih dahulu bagi menyatakan sokongan padu mereka terhadap kerasulan Nabi Muhammad, di samping mahu baginda singgah di sebuah tempat yang penuh dengan keberkatan daripada Allah SWT seperti yang disebut dalam ayat pertama surah al-Israk. Kepimpinan baginda menjadi titik tolak penyatuan akidah dan syariat di kalangan para anbiya, justeru baginda menjadi imam solat kepada mereka, iaitu kepimpinan bersifat global, bukan hanya untuk kaum atau bangsa tertentu, malah buat manusia sejagat yang terdiri daripada pelbagai etnik, suku kaum, bangsa yang menunjukkan kebesaran Allah dalam mencipta makhluk bernama manusia. Hubungan Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa tidak dapat disangkal oleh individu Muslim yang sayangkan agamanya. Ini kerana dari segi sejarah menunjukkan Masjid al-Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah kepada Masjid al-Haram hingga ke hari ini.

Justeru adalah menjadi tanggungjawab semua pihak khususnya di kalangan umat Islam membebaskan Masjid al-Aqsa dari cengkaman rejim Yahudi-Israel, kerana ia ada kaitan dengan persoalan akidah mereka. Pengajaran kedua terpenting menerusi peritiwa Israk dan Mikraj, ialah pelaksanaan ibadat solat lima waktu, ia merupakan mikraj (lif/tangga) seorang Muslim menghadap Tuhannya, kepentingan solat juga tidak dapat dipersoal oleh mana-mana individu Muslim, walau apapun jawatan dan kedudukannya dalam masyarakat. Apabila solat seseorang itu sempurna dengan Tuhannya, maka akan sempurnalah urusan hidupnya yang lain, hubungan roh seorang muslim itu sangat penting dengan Tuhannya, justeru ia ada kaitan dengan kedua-dua masjid yang disebutkan di atas. Apabila seseorang itu menunaikan solat dengan penuh khusyuk dan tawaduk, dia seolah-olah sedang berkata-kata dengan Allah, ia terserlah ketika membaca al-Fatihah tujuh belas kali sehari semalam, untuk menyatakan munajat dan aduannya kepada Allah bagi memudahkan tugas dan peranannya untuk menyeru manusia ke jalan kebenaran. Kita akan menghadapi pelbagai cabaran, sekiranya kita berjaya menghadapinya, kelak kita akan bertemu Allah dalam keadaan berjaya, dan sekiranya kita gagal maka binasalah kita kelak. Wal'iyazubillah. 



2 comments: